Pelarian atau pencari suaka dari Myanmar yang didakwa diberhentikan oleh
majikan selepas Program Penyelarasan Menyeluruh Pekerja/Pendatang Asing
Tanpa Izin (Program 6P) tidak boleh menyalahkan kerajaan dalam isu
tersebut.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ini kerana
golongan tersebut tertakluk dan dilindungi di bawah undang-undang
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dan
kerajaan tidak boleh campur tangan dalam urusan mereka.
"Mengikut undang-undang UNHCR mereka ini hanya ditempatkan sementara di
negara ini sambil menunggu untuk pindah ke negara yang sudi menerima
mereka dan tidak layak untuk bekerja kerana kebajikan mereka ditanggung
sepenuhnya oleh badan berkenaan.
"Justeru, isu ini (pemberhentian kerja) mereka perlu berbincang dengan
Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana sebenarnya jika mereka ingin
berbuat demikian (bekerja) mereka perlu mendapat kebenaran khusus
daripada KDN, ini adalah dasar kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen
pengenalan diri menerusi Kempen My Daftar peringkat negeri Pahang di
sini hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan golongan pelarian Myanmar yang
diberhentikan kerja akibat majikan tidak mahu menghadapi masalah dengan
Jabatan Imigresen ketika ingin mendaftarkan nama mereka dalam program
tersebut.
Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata program 6P yang dilaksanakan
oleh kerajaan bagi pemutihan pekerja asing tanpa izin hanya layak untuk
golongan berkenaan dan golongan pelarian tidak termasuk dalam program
itu.
"Pelarian atau pencari suaka tidak layak untuk program ini...jika
kerajaan membenarkan pelarian bekerja di sini, dikhuatiri lebih ramai
pelarian dari negara jiran yang datang ke sini semata-mata untuk mencari
peluang pekerjaan," katanya.
Terdahulu Dr Subramaniam menyampaikan dokumen pengenalan diri kepada 82
daripada 425 orang penerima yang layak dalam program My Daftar di
negeri ini.- Bernama
No comments:
Post a Comment