Saturday 25 February 2012

6P: Majikan digesa segerakan permohonan

KUANTAN 18 Feb. - Semua majikan digesa mengemukakan permohonan bagi pemutihan pekerja pendatang asing tanpa izin (PATI) masing-masing dengan segera bagi mengelak kesesakan pada minggu terakhir tarikh tutup permohonan yang ditetapkan pada 10 April ini.
Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohamed Nasir Osman berkata, keputusan kerajaan melanjutkan Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja/PATI (6P) yang sepatutnya berakhir Selasa lalu adalah selepas menimbang rayuan yang dikemukakan para majikan dan persatuan peniaga kecil sebelum ini.
"Bagaimanapun, kebanyakan mereka masih bertangguh dengan hanya menunggu pada saat-saat akhir permohonan ditutup.
"Senario ini menyebabkan kesesakan yang luar biasa berlaku di kaunter-kaunter imigresen sehingga mereka mengeluh kerana terpaksa menunggu giliran dalam tempoh yang lama," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Mohamed Nasir, Kuantan merupakan pusat pemutihan kelapan telah meluluskan permohonan sebanyak 1,585 majikan dengan melibatkan 5,968 orang pekerja asing.
"Namun, terdapat juga permohonan yang ditolak kerana gagal memenuhi beberapa kriteria yang ditetapkan iaitu membabitkan 204 majikan dan 1,069 pekerja," katanya.
"Justeru, saya berharap dalam tempoh yang diberikan ini setiap majikan menyiapkan segala dokumen yang diperlukan untuk membuat permohonan sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan," ujarnya.
Beliau berkata, pihaknya juga akan turun padang bertemu majikan bagi mengenal pasti punca keengganan mereka melakukan proses pemutihan tersebut.
"Isnin ini kita akan ke Cameron Highlands bertemu dengan majikan yang menggaji pekerja asing bagi membincangkan masalah dan mencari jalan penyelesaian agar mereka membuat permohonan segera," ujarnya.
Sementara itu, katanya, Pahang telah menerima bayaran levi sebanyak RM4.8 juta daripada 1,488 permohonan.
"Bayaran levi tertinggi adalah dalam bidang pembinaan yang membabitkan permohonan sebanyak 326 majikan iaitu berjumlah RM1.94 juta.
"Levi ini dibayar bagi tempoh setahun iaitu antara RM410 dan RM1,850 bagi satu kepala," jelasnya.

No comments:

Post a Comment